https://youtu.be/TvFBA27NWQ4

Monday, August 26, 2019

MINGGU 6

ISU ISU PERKAUMAN DI MALAYSIA

Media Sosial Hangatkan Unsur Perkauman


DISEDIAKAN OLEH ; NUR ATIQAH BINTI ZULKARNA'EN

Kejadian pergaduhan di Plaza Low Yat pada malam Ahad dan pagi Isnin lalu memaparkan bagaimana mudahnya sesuatu insiden terpencil bertukar menjadi kejadian besar yang diketahui oleh masyarakat di negara ini khasnya dan di seluruh dunia amnya menerusi penyebaran meluas menerusi media sosial.
Ini kerana kejadian yang membabitkan pergaduhan antara dua kumpulan ‘pembeli’ dan ‘peniaga’ di pusat penjualan barangan elektronik dan komputer  boleh diikuti serta-merta oleh masyarakat menerusi internet berikutan tindakan pelbagai pihak memuat turunkan video pergaduhan itu di alam maya.
Sejak kejadian itu berlaku, pelbagai video boleh ditonton di alam maya yang memaparkan bagaimana pergaduhan itu berlaku membabitkan sekumpulan anak muda yang dikatakan ingin membalas dendam kerana rakan mereka ditangkap mencuri bergaduh dengan peniaga di plaza itu.
Ada video memaparkan bagaimana seorang remaja dibelasah oleh sekumpulan remaja lain dan seterusnya tindak balas daripada ahli kumpulan lain. Ada juga yang menunjukkan kejadian pergaduhan di luar Plaza Low Yat termasuk di jalan belakang. Video itu tidak seharusnya disiarkan.
Kejadian terpencil itu menjadi hangat dan diketahui ramai serta-merta kerana adanya penyebaran menerusi media sosial terutama facebook dan twitter yang mampu mencetuskan satu pergaduhan besar di seluruh negara ini, jika tidak terkawal dan dibiarkan begitu saja.
Ia memerlukan pendekatan ‘pengurusan krisis’ oleh pihak berkuasa jika tidak mahu perkara ini terus merebak ke seluruh negara apatah lagi ia dibesar-besarkan sebagai satu pertembungan kaum.
Ada juga dalam media sosial yang mula melontarkan pandangan bahawa pergaduhan itu mungkin bibit-bibit akan berulangnya kejadian 13 Mei 1969 yang kebetulan tarikhnya ialah 13 Julai 2015. Ini amat menakutkan jika lebih ramai yang mula mengadu-dombakan kejadian terpencil ini.